13 MEI 2025 | SELASA - Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) khususnya Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan satu operasi bersepadu di kawasan perhentian bas Jalan Tanjung Labuh. Operasi ini merangkumi tindakan menangani isu gelandangan serta kerja-kerja pembersihan kawasan awam.
Tindakan ini diambil susulan aduan awam berhubung kehadiran seorang individu gelandangan yang menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tinggal. Hasil pemeriksaan mendapati individu berkenaan berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan kebajikan. Pihak JKM telah mengambil tindakan segera dengan menempatkan individu terbabit ke pusat perlindungan yang lebih sesuai bagi memastikan kebajikan dan keselamatan beliau terus terpelihara.
Dalam masa yang sama, MPBP turut menjalankan kerja-kerja pembersihan menyeluruh di lokasi tersebut. Tindakan ini bertujuan memastikan kemudahan awam berada dalam keadaan bersih, selamat dan tidak disalahgunakan, sejajar dengan matlamat MPBP untuk mewujudkan persekitaran bandar yang kondusif dan teratur.
MPBP menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan sentiasa komited dalam menjaga kebersihan dan kesejahteraan bandar melalui tindakan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan. Pendekatan ini bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah memastikan kemudahan awam digunakan dengan cara yang betul demi kepentingan masyarakat.
Orang awam digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan isu sosial atau kebersihan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dan menyeluruh dapat diambil.
#MajuSejahteraBatuPahat #MajuJohor #BangsaJohor #JohorBersih