30 OGOS 2025 | SABTU - Sambutan Pesta Merdekalah @ Batu Pahat dan Malam Ambang Merdeka Daerah Batu Pahat telah berlangsung dengan penuh semarak dan meriah.
Acara bermula dengan Fun Walk Merdeka sejauh 3.18km, diikuti persembahan nasyid oleh Aeydan by Rabbani serta persembahan daripada kumpulan Sofazr.
Pada jam 11.00 malam, sambutan diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Encik Mohd Farid bin Kassim, Pegawai Daerah Batu Pahat, sebelum diteruskan dengan acara silang budaya dan persembahan sajak Merdeka.
Ketibaan Yang Berhormat Dato’ Haji Asman Shah bin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor telah merancakkan lagi suasana sambutan. Persembahan diteruskan dengan alunan gambus serta tarian zapin yang memukau.
Kemuncak sambutan tiba pada detik 12.00 tengah malam apabila YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Johor melaungkan jeritan “Merdeka” sebanyak tujuh kali, disusuli dengan nyanyian bersama Lagu Negaraku dan Lagu Bangsa Johor serta pertunjukan bunga api yang gilang-gemilang.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!