13 MEI 2025 | SELASA - Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah melaksanakan operasi Task Force Lesen Perniagaan di sekitar kawasan pentadbiran MPBP.
Pemeriksaan dijalankan bertujuan memastikan semua premis perniagaan yang beroperasi mempunyai lesen perniagaan yang sah serta mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis tidak mempamerkan lesen di tempat yang mudah dilihat, terdapat premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, serta premis yang melanggar syarat lesen sedia ada.
Sehubungan itu, pihak MPBP telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan Notis Peringatan, Notis Kesalahan serta Tindakan Kompaun kepada pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan. Operasi ini juga memberi nasihat dan teguran kepada peniaga yang masih belum memperbaharui lesen perniagaan mereka.
MPBP menegaskan bahawa semua peniaga wajib memiliki lesen perniagaan yang sah pada tahun semasa serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah peraturan pihak berkuasa tempatan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang.
MPBP akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan demi memastikan kawasan perniagaan di bawah pentadbiran MPBP sentiasa teratur, selamat dan mematuhi peraturan.
#MajuSejahteraBatuPahat #MajuJohor #BangsaJohor #JohorBersih