26 JUN 2025 | KHAMIS - YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Landskap Negara (HLN 2025) yang berlangsung di Taman Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang pada hari ini, 26 Jun.
Turut mengiringi, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
Keberangkatan tiba YAM Che’ Puan Mahkota disambut oleh YB Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Yab Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Majlis ini turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, wakil-wakil agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pengamal media tempatan dan nasional.
Bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI’, HLN 2025 bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap peranan industri landskap dalam mencorakkan kehidupan bandar yang lestari, hijau dan sejahtera. Ia juga menjadi platform untuk menghargai sumbangan para penggiat landskap dalam pembangunan negara.
Antara pengisian menarik HLN 2025 termasuk:
- Pameran dan Pertandingan Laman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari seluruh negara.
- Laman Khas Diraja, yang menampilkan elemen landskap Johor dalam sentuhan estetika kontemporari dan tradisional.
- Pameran Inovasi Landskap, forum profesional dan bengkel pendidikan hijau untuk pelajar dan belia.
- Pertandingan rekabentuk landskap dan demonstrasi hortikultur oleh pakar industri.
YAM Che’ Puan Mahkota dan YAM Tunku Tun Aminah turut berkenan melawat Laman PBT dan Laman Khas Diraja serta berinteraksi bersama peserta dan pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan.
HLN 2025 dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), serta agensi-agensi berkaitan.