29 DISEMBER 2024 | AHAD - Majlis perasmian aplikasi JomParking, kios layan diri dan kaunter pandu lalu tanpa tunai Majlis Perbandaran Batu Pahat telah diadakan di Ruang Legar Kaunter Bayaran, Aras 2 Menara MPBP.
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Ezahar bin Abu Sairin Yang Dipertua MPBP , turut hadir bersama adalah Encik Zaidi bin Japar Ketua WHIP Ahli Majlis MPBP, Ahli-Ahli Majlis MPBP dan Ketua- ketua Jabatan MPBP.
Majlis ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan 3 perkhidmatan yang disediakan oleh MPBP kepada orang awam. Pertamanya, MPBP telah melancarkan aplikasi parkir pintar “JomParking” yang telah mula digunakan pada 10 November 2024 yang lepas. Aplikasi ini telah dibangunkan oleh syarikat Govicle Sdn Bhd bersama MPBP yang turut digabungkan dengan Sistem Penguatkuasaan “Go Force” dan sistem “GoPayy” yang boleh menjana kupon digital.
Pelaksanaan aplikasi JomParking ini adalah satu alternatif kepada pembelian kupon, pas harian dan pas bulanan. Penggunaan kupon fizikal dan pas bulanan fizikal yang masih aktif tempohnya masih boleh digunakan sehingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak. Walau bagaimanapun pihak MPBP mensasarkan supaya penggunaan aplikasi ini boleh mencapai ke tahap 50% daripada keseluruhan bayaran parkir dalam tempoh setahun akan datang. Bagi menambah lagi pilihan kadar bayaran, MPBP telah bersetuju untuk menetapkan kadar pas harian bernilai RM 5.00 yang akan mula tersedia di dalam aplikasi ini mulai 1 Januari 2025.
Aplikasi JomParking boleh dimuat turun di App Store (Pengguna Apple), Play Store (Pengguna Android) dan App Gallery (Pengguna Huawei). Kemaskini aplikasi JomParking sediada kepada versi 4 akan mula ditawarkan pada 1 Januari 2025 dengan penambahbaikan terbaru merangkumi ciri–ciri tambahan termasuk pembayaran kompaun melalui aplikasi dan lain–lain pembayaran seperti pembaharuan insurans.
Perkhidmatan kedua yang diperkenalkan ialah kios layan diri tanpa tunai yang telah siap dipasang dan digunakan bermula pada 26 September 2024. Terdapat 2 unit kios layan diri yang ditempatkan di aras G Menara MPBP berhadapan lif dan juga di ruang legar Kaunter Bayaran Aras 2 Menara MPBP. Kios ini akan mengurangkan kesesakan pembayaran di kaunter bayaran dan mengurangkan waktu menunggu bagi orang awam. Perkhidmatan pembayaran yang tersedia buat masa ini adalah bagi bayaran cukai taksiran, sewaan premis, pembaharuan lesen dan bil pelbagai. Pembayaran di kios layan diri adalah secara tanpa tunai iaitu kad debit, kad kredit, dompet elektronik (e-wallet) dan DuitNow QR.
Perkhidmatan ketiga adalah perkhidmatan kaunter pandu lalu MPBP yang terletak di kawasan tempat letak kereta berpagar Dewan Jubli Intan MPBP yang akan beroperasi semula pada 7 Januari 2025. Kaunter pandu lalu ini juga akan mengamalkan konsep pembayaran tanpa tunai. Ia akan beroperasi setiap hari Isnin hingga Rabu setiap minggu bagi bulan Januari, Februari, Mac, Julai, Ogos & September. Bagi bulan–bulan lain yang dijangka mengalami trafik operasi kaunter yang kurang sibuk, jadual operasi akan dimaklumkan melalui media sosial MPBP dari semasa ke semasa.
Selain itu, adalah dengan ini dimaklumkan inisiatif Khamis tanpa tunai akan dipanjangkan sehingga hari Jumaat. Walau bagaimanapun, para pelanggan masih boleh menggunakan kaedah bayaran secara tunai pada 3 hari yang lain iaitu Isnin, Selasa dan Rabu.
#MajuJohor #BPHebat #batupahatsmartandlowcarbon #SustainableDevelopmentGoals #LowCarbonLifestyle #smartcity