Hari Bebas Kenderaan, Southern Volunteers Fun Run dan Semarak Subuh

Hari Bebas Kenderaan, Southern Volunteers Fun Run dan Semarak Subuh

  • 27 Dis 2024
  • Berita

27 DISEMBER 2024 | JUMAAT - Majlis Perbandaran Batu Pahat dengan kerjasama Southern Volunteers Batu Pahat menganjurkan Hari Bebas Kenderaan (Car Free Day) bagi Tahun 2024. Program Southern Volunteers 'Fun Run' berlangsung di Jalan Rahmat dan tamat di Jalan Pejabat (Dataran Penggaram), Batu Pahat.

Bersempena dengan itu, pelepasan Southern Volunteers Fun Run 2024 sejauh 5km akan diadakan bermula di Jalan Rahmat melibatkan penyertaan seramai 500 peserta dengan Majlis pelepasan Southern Volunteers Fun Run 2024 disempurnakan oleh YB Dato’ Haji On bin Jabbar @ Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan). Turut hadir sama En. Ezahar bin Abu Sairin, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, YDH ACP Shahrulanuar Mushaddat bin Abdullah Sani, Ketua Polis Daerah Batu Pahat,  En. Abdul Razak b Ithnain Setiausaha Majlis Perbandaran Batu Pahat, Encik Mohamad Zainul Ariffin bin Azhar, Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat dan para jemputan.

Program Hari Bebas Kenderaan (Car Free Day) merupakan acara tahunan yang telah dijadualkan di dalam kalendar aktiviti program di bawah Majlis Perbandaran Batu Pahat. Tumpuan aktiviti bukan sahaja penglibatan masyarakat, malah tumpuan aktiviti kepada perkongsian ilmu, kolaborasi penganjuran program bagi memastikan semua pihak dapat terlibat dengan pengetahuan dan pemahaman terhadap kepentingan kualiti hidup yang sihat.

Program Hari Bebas Kenderaan (Car Free Day) antara lain merupakan inisiatif Majlis Perbandaran Batu Pahat ke arah perbandaran yang mampan dan inklusif. Berasaskan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) serta komitmen Bandar Pintar dan Rendah Karbon, Majlis Perbandaran Batu Pahat sentiasa komited memastikan masyarakat Batu Pahat mengamalkan gaya hidup sihat dan mampan. Ianya selaras dengan komitmen agar memastikan pembangunan bukan sahaja memberi impak kepada masyarakat semata-mata malah mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar dan hijau. Sehubungan dengan itu, Majlis Perbandaran Batu Pahat menetapkan sasaran Tahun 2030 merupakan sasaran Batu Pahat sebagai sebuah bandar berstatus Bandar Pintar dan Rendah Karbon (BP2030).

Pelbagai aktiviti lain seperti Pameran Program Bandar Selamat, Sesi pemanduan selamat e-skuter bersama Beam Mobility Malaysia Sdn Bhd, Penebusan barangan kitar semula dengan barangan keperluan harian, Free Market pakaian terpakai, Demonstrasi pembuatan Mudball serta pelbagai aktiviti menarik bersama komuniti.

Program pada kali ini mendapat kerjasama daripada pihak SWCORP Batu Pahat, Yayasan Makmur Batu Pahat, Beam Mobility Malaysia Sdn Bhd serta Southern Volunteers Batu Pahat.

Turut diadakan program Semarak Subuh di Masjid Dato Bentara Luar Batu Pahat anjuran Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dengan Kerjasama Southern Volunteers Batu Pahat dan Yayasan Makmur Batu Pahat.