MENU

Main menu

 

 

Pada zaman dahulu, Batu Pahat dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat juga dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan-petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenamaan dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Sultan Hussin di Singapura dan Johor, dua orang ketua dari orang-orang Melayu Daik, dan seorang lagi dari Simpang Kiri bernama Rapang dari keturunan Orang Besar Pahang telah menghadap Sultan Hussin. Mereka berdua telah diberi taraf penghulu oleh Sultan Hussin di tempat masing-masing pada tahun 1834.

Berikutan dengan pembukaan petempatan-petempatan kecil ini, maka kawasan Batu Pahat ini telah bertambah maju dan meluas. Pada tahun 1885 beberapa orang keturunan Inggeris iaitu bernama Stiple, Jackson dan Watt telah membuka sebuah ladang kopi di Bukit Penggaram iaitu berhampiran dengan Pengkalan Jeram. Pemborong yang telah mengerjakan ladang itu adalah seorang Cina bernama Lim Soo Poon telah menjadi seorang kaya (tauke) dan ia telah berjaya membuat empat pintu rumah batu berdekatan dengan Sungai Batu Pahat.

Pada tahun 1888, usaha-usaha untuk membuka Bandar Batu Pahat semakin giat dijalankan oleh Dato' Yahya bin Awaluddin yang turut dikenali sebagai Dato' Yahya Tinggi di suatu kawasan Bukit Senangin, Kampung Tambak, tebing kanan Sungai Batu Pahat. Tetapi usaha beliau menemui kegagalan kerana faktor ekonomi dan geografi yang tidak sesuai. Malah menurut kepercayaan orang tua yang ada di kawasan itu tidak boleh dijadikan bandar kerana akhirnya akan dimasuki "angin". Akhirnya, tempat tersebut ditinggalkan begitu sahaja. Pada tahun yang sama juga seorang lagi pembesar yang bergelar Dato' Yahya Rendah cuba membuka bandar di kawasan Senanangar tetapi gagal juga kerana orang-orang tua peda masa itu menyatakan "nanti mulut ternganga".

Walau bagaimanapun, pembukaan petempatan-petempatan baru masih juga diteruskan. Pada tahun 1889 Orang Kaya Sidek bin Ismail telah membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan Kampung Jakun dan kawasan ini dinamakan Benut Selamat. Tetapi tidak lama kemudian nama tersebut telah bertukar kepada Bagan. Ramai orang yang tertarik ke tempat itu termasuk juga orang yang datang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain pulau. Orang-orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka kebun-kebun kelapa dan kopi. Di antara orang-orang yang terkenal di kampung itu ialah seperti Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang Muar). Sehinggalah pada tahun 1893, Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari Kuala Sungai Batu Pahat.

  • 1