25 FEBRUARI 2026 | RABU - Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Rancangan Kawasan Khas (RKK) Persisiran Sungai Batu Pahat Bil. 1/2026 pada 25 Februari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Delima, Aras 14, Menara MPBP. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPBP, Tuan Haji Mohd Nazid bin Jasiman, turut hadir bersama Setiausaha MPBP, Encik Abdul Razak bin Ithnain. Turut serta hadir beberapa barisan Ahli Majlis dan wakil agensi-agensi teknikal yang melibatkan Pejabat Daerah Batu Pahat, Pejabat Tanah Batu Pahat, Jabatan Pengairan dan Saliran Batu Pahat, Jabatan Kerja Raya Batu Pahat, Pejabat Laut Batu Pahat, Pejabat Imigresen Daerah Batu Pahat, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Pusat Pemeriksaan Ikan ILKM Batu Pahat dan wakil daripada JBI Logistics Sdn Bhd..
Intipati mesyuarat merangkumi pembentangan senarai cadangan pembangunan Rancangan Kawasan Khas Persisiran Sungai Batu Pahat oleh Ketua Jabatan Perancang Bandar dan Landskap, Encik Sharil bin Karjoo dan turut melibatkan pembentangan cadangan pembangunan dan pemusatan aktiviti barter trade oleh Syarikat JBI Logistics Sdn. Bhd. oleh Pengurus Besar JBI logistics, Tuan Haji Abdul Razak bin Ejab.
MPBP komited untuk memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan adalah selari dengan kepentingan pembangunan bandar, ekonomi setempat dan kesejahteraan masyarakat. Diharapkan kerjasama daripada semua pihak terlibat dapat diteruskan bagi menjamin kelancaran pelaksanaan perancangan serta kejayaan pembangunan kawasan persisiran Sungai Batu Pahat secara mampan dan berdaya saing.