11 FEBRUARI 2026 | RABU - Mesyuarat dan Sesi Lawatan Tapak bagi Verifikasi Input dan Maklum Balas Berkaitan Risiko Seismik Bencana Gempa Bumi Siri 1/2026 telah diadakan di Aras 14, Menara MPBP. Mesyuarat dipengerusikan oleh TPr Ezrein Faizal bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PlanMalaysia bersama Majlis Perbandaran Batu Pahat. Turut serta hadir wakil agensi-agensi teknikal yang melibatkan MET Malaysia, Jabatan Meterologi Malaysia, NADMA, Jabatan Kerja Raya Johor dan PlanMalaysia Johor. Kepentingan mesyuarat adalah berdasarkan faktor Daerah Batu Pahat merupakan salah satu daripada 14 kawasan panas (hotspot) yang telah dikenalpasti sebagai lokasi berlakunya risiko gempa bumi di negara ini.
Intipati mesyuarat merangkumi pembentangan ringkas berkaitan Garis Panduan Pembangunan dan Pengurusan di Kawasan Berisiko Bencana Gempa Bumi serta perbincangan bagi penetapan syarat risiko seismik di dalam kandungan Rancangan Pemajuan dan Pelan Pembangunan.
Agenda diteruskan dengan sesi lawatan ke Stesen Seismologi Batu Pahat di Jabatan Meterologi Malaysia (Batu Pahat) bagi melihat operasi pemantauan seismik yang dijalankan di peringkat daerah. MPBP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan memberikan komitmen serta kerjasama yang amat baik.