09 MAC 2026 | ISNIN - Majlis Perbandaran Batu Pahat telah menganjurkan Majlis Tadarus Al-Quran, Khatam Al-Quran dan Tazkirah Ramadan Tahun 1447H / 2026M pada 9 Mac 2026 (Isnin) bertempat di Surau Aras 4, Menara MPBP.
Program dimulakan pada sebelah pagi dengan Sesi Tadarus Al-Quran yang melibatkan warga kerja MPBP. Peserta mendaftar seawal jam 8.30 pagi sebelum pembahagian kumpulan dan surah dilaksanakan. Majlis tadarus bermula pada jam 9.00 pagi dan berlangsung dengan penuh penghayatan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Tazkirah Ramadan bermula jam 2.15 petang dengan pendaftaran warga kerja MPBP. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Yang Dipertua MPBP, Tuan Haji Mohd Nazid bin Jasiman.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Muhammad Hasan Basri bin Ab Hamid, diikuti Majlis Khatam Al-Quran yang diketuai oleh Encik Aripin bin Jelani. Seterusnya para hadirin bersama-sama mengalunkan bacaan selawat sebelum ucapan oleh Yang Dipertua MPBP.
Program diteruskan dengan Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Haji Mohamad Fairuz bin Haji Tamiis, yang memberikan pengisian rohani serta peringatan tentang kelebihan dan penghayatan bulan Ramadan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah, diikuti Solat Asar berjemaah serta pengagihan juadah berbuka puasa kepada warga kerja sebelum bersurai pada jam 5.00 petang.
Semoga penganjuran program seperti ini dapat terus memupuk semangat ukhuwah serta meningkatkan penghayatan ibadah dalam kalangan warga kerja MPBP sepanjang bulan Ramadan yang mulia.