04 FEBRUARI 2026 | RABU - Majlis Amanat Yang Dipertua dan Ikrar Bebas Rasuah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi Tahun 2026 telah berlangsung dengan penglibatan seluruh warga kerja MPBP. Majlis dimulakan dengan taklimat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat bertajuk Peranan SPRM Dalam Memerangi Rasuah dan Pencegahan Rasuah sebagai usaha memperkukuh kefahaman serta budaya integriti dalam perkhidmatan awam. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia PPj Mohd Fauzi bin Shadollah, Ketua Cawangan SPRM Batu Pahat bagi sesi bacaan ikrar dan tandatangan Ikrar Bebas Rasuah.
Majlis diteruskan dengan lafaz Ikrar Penjawat Awam oleh semua wargakerja MPBP. Amanat telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Nazid Bin Jasiman, Yang Dipertua MPBP. Beliau menekankan integriti sebagai teras utama kecemerlangan organisasi, kepentingan kerja berpasukan, progresif dan responsif. Beliau turut menyeru seluruh warga kerja MPBP agar melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, berakauntabiliti serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tugasan demi memastikan pembangunan Batu Pahat yang mampan dan sejahtera.
Sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun MPBP, Yang Dipertua telah mengilhamkan moto "MPBP" singkatan dari MPBP iaitu M- Mindset, P-Prihatin, B- Bersama dan P- Profesional sebagai panduan kerja.
Turut diadakan ialah sesi penyampaian sijil dan cenderahati Anugerah Pekerja Contoh Bulanan bagi bulan Ogos hingga Disember 2025, penyampaian surat kenaikan pangkat pegawai, pengenalan pegawai pertukaran pelantikan, pengenalan pegawai lantikan baru dan pengenalan pegawai program pertukaran silang (PCF).
Majlis diteruskan dengan gimik pelancaran 25 tahun MPBP. Turut diadakan ialah sesi taklimat Pembiayaan Umrah Dan Haji Maybank Islamik yang disampaikan oleh Puan Normiza binti Paimin serta reruai pameran produk perkhidmatan Maybank.
#mpbphebat #majudansejahtera #amanatyangdipertua #ikrarbebasrasuah