Lawatan Tapak Di Parit Sempadan

Lawatan Tapak Di Parit Sempadan

  • 29 Apr 2026
  • Berita

29 APRIL 2026 | RABU - Satu sesi lawatan tapak telah diadakan di Parit Sempadan, Parit Raja, Batu Pahat, Johor bagi meninjau tapak cadangan Rumah Mampu Milik, perancangan rangkaian jalan sekitar serta tapak perkuburan Islam. Sesi lawatan ini diketuai oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap bersama Ahli Majlis, YBhg. Datuk Haji Mohd Lassim bin Burhan.

Sebanyak 2,552 unit Rumah Mampu Milik akan dibina di kawasan ini, melibatkan rumah bertingkat 5 tingkat. Pembangunan ini juga akan menyediakan kemudahan awam seperti institusi pendidikan, surau, kawasan lapang dan tapak perkuburan Islam bagi menyokong keperluan penduduk setempat.

Lawatan tapak ini turut memberi tumpuan kepada penguraian trafik dan perancangan jajaran jalan bagi memastikan sambungan ke pintu kedua Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dapat direalisasikan untuk kemudahan pelajar yang menginap di luar kampus. Dianggarkan seramai lebih 5,000 pelajar akan mendiami kawasan sekitar UTHM melibatkan kawasan Parit Sempadan, Parit Jambol dan Taman Maju Bistari. Justeru, perancangan aksesibiliti yang efisien adalah amat penting bagi meningkatkan kebolehcapaian serta kelancaran aliran lalu lintas serta menangani impak sosial di kawasan terlibat.