02 MAC 2026 | ISNIN - Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat telah melaksanakan Operasi Pemeriksaan Bazar Ramadan di Bazar Ramadhan Pesta bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan syarat pelesenan berada dalam keadaan baik dan terkawal.
Pada kali ini Tn YDP Hj Mohd Nazid Bin Jasiman diiringi oleh barisan ketua-ketua jabatan MPBP dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam PKDBP berbesar hati melakukan lawatan mesra bagi menyantuni peniaga bazar dan juga orang awam di tapak bazar. Tn YDP juga turut menyerahkan cenderahati kepada para peniaga semasa sesi lawatan tersebut.
Operasi ini juga melibatkan kerjasama bersepadu daripada:
- Jabatan Kesihatan Persekitaran, MPBP
- Jabatan Pelesenan, MPBP
- Jabatan Penguatkuasaan, MPBP
Objektif Operasi:
- Memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan makanan
- Memeriksa lesen/permit perniagaan serta pematuhan syarat-syarat ditetapkan
- Memberi nasihat dan teguran secara berhemah kepada peniaga
- Menjamin keselesaan serta keselamatan pengunjung bazar
Sepanjang operasi dijalankan, pemeriksaan meliputi aspek kebersihan gerai, pemakaian pengendali makanan, pengendalian bahan mentah dan makanan siap, serta susun atur peralatan dan pengurusan sisa pepejal.
Sebanyak 2 kompaun atas kesalahan tiada suntikan tifoid dan 1 notis kesalahan melanggar syarat permit bazar telah dikeluarkan.