02 NOVEMBER 2025 | AHAD - Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan satu (1) operasi bersepadu di empat (4) kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan kenderaan berat, iaitu di Taman Soga, Taman Megah, sekitar Parit Raja dan sekitar Tongkang Pechah.
Hasil daripada operasi tersebut, Jabatan Penguatkuasaan telah mengeluarkan sebanyak lima belas (15) kompaun terhadap pemilik dan pengendali kenderaan berat atas kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran 8(1)(g) menyebabkan atau membenarkan mana-mana kenderaan diletakan di mana-mana siar kaki, lorong belakang, tepi lorong, kaki lima, tepi lebuh atau mana-mana tempat/ kawasan awam.
Majlis Perbandaran Batu Pahat akan terus komited melaksanakan operasi seumpama ini secara berterusan di seluruh kawasan pentadbirannya bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Pihak Majlis menasihatkan agar semua pemilik dan pemandu kenderaan berat mematuhi peruntukan undang-undang dengan tidak meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama, kawasan perumahan atau tempat awam yang boleh menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya yang lain.