Sejarah Pentadbiran Bandar Penggaram
Sejarah pentadbiran Bandar Penggaram bermula pada tahun 1911 apabila sistem pentadbiran ‘seiring’ (system of parallelism) diperkenalkan. Berikutan dengan penguatkuasaan Town Board Enecment 1911 yang memberi kuasa yang lebih kepada semua Lembaga Bandaran, Lembaga Bandaran Bandar Pengaram telah ditubuhkan setahun selepas itu iaitu pada tahun 1912. Ungku Ahmad bin Mohd Khalid yang pada ketika itu sebagai Pesuruhjaya Kerajaan Daerah Batu Pahat di lantik merangkap jawatan ‘President Town Board’. Sejak daripada itu Bandar Penggaram Terus berkembang dari semasa ke semasa dan seterusnya setelah ianya memenuhi justifikasi dan kriteria yang di tetapkan, pada Jun 2001 ianya telah dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran dan dikenali sebagai Majlis Perbandaran Batu Pahat.
Pada asalnya, kawasan pentadbiran Lembaga Bandaran Bandar Penggaram hanyalah meliputi kawasan yang kecil. Bagaimanapun kawasan pentadbiran ini diperluaskan dari masa ke masa. Pada tahun 1925 pentadbiran Pekan Senggarang telah dimasukkan ke dalam pengawasan Lembaga Bandaran Bandar Penggaram dan sehingga tahun 1933 kawasan yang ditadbirkan meliputi Pekan Semerah, Pekan Chaah, Pekan Sri Gading, Pekan Air Hitam dan Pekan Parit Sulong.
Dengan penguatkuasaan Ordinan Pilihanraya Tempatan pada tahun 1950 , Lembaga Bandaran Bandar Penggaram telah dinaik taraf sebagai Majlis Bandaran Bandar Penggaram pada 1952 dan pada tahun berikutnya pilihanraya tempatan pertama telah diadakan. Pada waktu tersebut seramai 9 orang ahli majlis dipilih melalui pilihanraya, 3 dilantik oleh kerajaan Negeri dan 4 orang ahli ex-officio.
Pada 1 November 1976 dengan berkuatkuasanya Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Majlis Bandaran Bandar Penggaram telah disusun semula dan pentadbirannya dibahagi dua iaitu Majlis Daerah Batu Pahat Barat dan Majlis Daerah Batu Pahat Timur.
Kawasan yang diliputi oleh Majlis Daerah Batu Pahat Barat adalah seperti berikut;
- Majlis Daerah Bandar Penggaram
- Majlis Tempatan Semerah
- Majlis Tempatan Senggarang
- Majlis Tempatan Rengit
- Majlis Tempatan Tongkang Pecah
- Majlis Tempatan Sri Gading
- Majlis Tempatan Parit Raja
Manakala bagi Majlis Daerah Batu Pahat Timur pula kawasannya adalah seperti berikut;
- Majlis Tempatan Yong Peng
- Majlis Tempatan Parit Sulong
- Majlis Tempatan Parit Yaani
- Majlis Tempatan Lam Lee
- Majlis Tempatan Kangkar Baru
- Majlis Tempatan Air Hitam
Dengan perkembangan dan pembangunan yang pesat, pada 1 Jun 2001 Majlis Daerah Batu Pahat Barat telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat. Kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Batu Pahat pada waktu ini mencakupi kawasan seluas lebih kurang 196,345.67 hektar dengan penduduk seramai lebih kurang 202,687 orang dan 60% daripadanya tinggal di kawasan bandar dan pekan.