MENU

Menu utama

JOHOR BAHRU: Sekumpulan pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan kepakaran bagi membantu mangsa kebakaran dan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang mengalami trauma.

Ketua Penyelaras Kaunselor-Kaunselor UTM, Prof Madya Dr Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor, berkata seorang profesor, dua pegawai psikologi dan dua pegawai kaunseling, dibantu 15 mahasiswa di peringkat sarjana, memberi bantuan pascatrauma dan stres.

"Kami telah berada di HSA sejak jam 2 petang semalam untuk mengadakan perbincangan dengan Pegawai Psikologi mengenai bentuk bantuan dan gerak kerja yang akan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Syed Mohamed Shafeq berkata, pihaknya akan memberi perkhidmatan kepada keluarga mangsa, pegawai tinggi hospital dan agensi yang terbabit dalam membantu memadam kebakaran serta menyelamatkan mangsa secara individu dan berkumpulan.

Pada masa ini, perkhidmatan itu disediakan di bangunan Jabatan Agama Islam Johor dan Open University, yang terletak berhampiran dengan HSA bagi tempoh enam hari bermula semalam.

"Selepas tempoh berkenaan, mereka boleh datang ke UTM untuk mendapatkan perkhidmatan," katanya. - BERNAMA

Kemaskini Terakhir: Selasa, 16 April 2024 - 8:14am