MENU

Menu utama

JCorp Bina Hospital Dan Rumah Di Sri Gading

BATU PAHAT: Johor Corporation (JCorp) menerusi anak syarikatnya Johor Land Berhad bakal membangunkan sebanyak 2,659 rumah termasuk kos rendah dan sederhana di Sri Gading, dekat sini, yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019.

Pembangunan di tapak seluas 95.05 hektar yang akan dikenali sebagai Taman Mutiara Gading itu turut merangkumi pembinaan Hospital Pakar KPJ dengan kos kira-kira RM95 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembangunan dua projek besar itu diyakini akan memacu pembangunan dan ekonomi daerah ini, selain menyumbang kepada kuasa ekonomi baharu.

"Selain itu, pembinaan kereta api berkelajuan tinggi kelak pasti akan memberi lebih limpahan ekonomi kepada penduduk setempat kerana ia akan menghubungkan daerah ini dengan Kuala Lumpur dan Singapura.

"Pembangunan di Taman Mutiara Gading ini yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas akan memberi landskap yang lebih segar dan dinamik," katanya pada sidang media selepas melancarkan projek berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamed Aziz; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi.

Projek perumahan membabitkan harga bermula dari RM42,000 hingga RM150,000 itu turut merangkumi 119 unit kedai, dua lot komersial dan 211 rumah di bawah Perumahan Komuniti Johor (PKJ).

Mohamed Khaled berkata, pembinaan Hospital Pakar KPJ akan menempatkan 240 katil bagi menampung keperluan kesihatan di daerah itu yang masih memerlukan sekurang-kurangnya 461 katil pesakit pada 2018.

"Pertumbuhan jumlah penduduk di Batu Pahat sehingga kira-kira setengah juta dalam tempoh empat tahun lagi turut meningkatkan permintaan pusat rawatan.

"Walaupun Batu Pahat sudah mempunyai kemudahan hospital kerajaan dan swasta, namun ia masih tidak mencukupi berikutan pertambahan penduduk pada masa akan datang.

"Dengan adanya hospital pakar ini, ia dapat membantu meningkatkan kemudahan rawatan kepada pesakit serta memberi tambahan pilihan yang baik kepada masyarakat setempat.

Kemaskini Terakhir: Selasa, 16 April 2024 - 8:14am