Dato’ Bentara Luar iaitu Dato’ Muhamad Salleh bin Perang memulakan usaha membangunkan Bandar Batu Pahat pada tahun 1893. Dengan persetujuan oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abu Bakar untuk membuka Bandar Batu Pahat, satu upacara perasmian telah dilakukan pada 1 Januari 1894. Satu lagi majlis pengisytiharan diadakan sempena menamakan Bandar Batu Pahat sebagai Bandar Penggaram pada 1 Disember 1984. Lembaga Bandaran Penggaram pada awalnya ditubuhkan pada tahun 1912 di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sehingga tahun 1932. Lembaga Bandaran Penggaram telah dinaiktarafkan sebagai Majlis Bandar Penggaram pada tahun 1952. Pada tahun yang sama, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tempatan Parit Raja, Rengit, Semerah, Senggarang, dan Sri Gading. Majlis Bandar Penggaram adalah penguasa tempatan dalam negeri Johor berautonomi kewangan. Ia merangkumi 5.42 batu persegi, dengan jumlah penduduk seramai 54,000 orang. Dalam mesyuarat pada 10 Ogos 1976, kerajaan Negeri Johor telah mengambil keputusan mengambil tarikh 1 November 1976 sebagai tarikh pelancaran menyusun semula Penguasa-penguasa Tempatan di daerah Batu Pahat. Oleh itu daerah ini dibahagikan kepada dua majlis iaitu Majlis Daerah Batu Pahat Barat dan Majlis Daerah Batu Pahat Timur. Pada 1 November 1976, Majlis Bandaran digabungkan bersama Majlis-Majlis Tempatan Parit Raja, Rengit, Semerah, Senggarang, Sri gading dan Tongkang Pechah dan dikenali sebagai Majlis Daerah Batu Pahat Barat (MDBPB). Kecekapan perkhidmatan dan pengurusan Majlis Daerah Batu Pahat Barat telah memberi langkah kepadanya untuk dinaiktarafkan. Tanggal 1 Januari 2001, setelah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan Tempatan Malaysia dan dengan persetujuan Setiausaha Pesuruhjaya Pilihanraya, maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor telah bersetuju menaiktarafkan Majlis Daerah Batu Pahat Barat kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP). | 1912 | Lembaga Bandaran Batu Pahat ditubuhkan dan diwartakan. | | 1952 | Lembaga Perbandaran Batu Pahat dinaiktarafkan sebagai Majlis Bandaran Bandar Penggaram. Tanggungjawab mentadbir: 9 ahli dipilih melalui pilihan Raya, 3 dilantik oleh kerajaan dan 4 Ahli Ex-Officio. | | 1966 | Badan Penasihat yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri mentadbir Majlis Bandaran Bandar Penggaram. | | 1.11.1976 | Penyusunan semula penguasa tempatan dan Majlis Bandaran Bandar Penggaram dikenali sebagai Majlis Daerah Batu Pahat Barat (24 Ahli Majlis Dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri sehingga sekarang). | | 1.11.2001 | Secara Rasminya Majlis Daerah Batu Pahat Barat dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat ( MPBP ). |
|