MENU

Main menu

Kemajuan Bandar Maharani yang telah dibuka pada tahun 1884, mencabar keupayaan penghulu-penghulu Batu Pahat bagi membuka sebuah bandar. Tambahan pula memandangkan kemajuan yang pesat di kawasan sekitarnya seperti Serum, Bertam, Tebing Tinggi, Kampung Sejagong, Langkap, Chaah dan lain-lain lagi. Maka satu perjumpaan telah diadakan di Kuala Simpang, terdiri daripada orang-orang kaya, penghulu-penghulu, Menteri Penghulu dan Jenang-jenang (gelaran bagi ketua orang asli) yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Hamid bin Ahmad Ketua Pengaman Batu Pahat. Keputusan Mesyuarat tersebut telah melantik Penghulu Rahmat bin Ragam (Penghulu Simpang Kanan) dan Penghulu Kitam bin Mohd. Shah (Penghulu Simpang Kiri) mengadap Sultan Abu Bakar memohon Dato' Muhamad Salleh bin Perang membuka satu bandar untuk Batu Pahat. Mereka berkeyakinan Dato' Bentara Luar akan berjaya membuka sebuah lagi bandar kali ini di Batu Pahat.

Pada 4hb. November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang Pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pda 11hb. November 1893, Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau:
"Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar…"

Kedudukan tempat yang hendak dijadikan bandar adalah kira-kira 15 kilometer dari kuala Sungai Batu Pahat, sebelah kanan tebing mudik sungai. Dato' Bentara Luar memilih kawasan ini kerana senang dan boleh merapatkan kapal-kapal besar yang dianggarkan dapat masuk ke sungai dengan membina sebuah dermaga bagi kemudahan perdagangangan laut. Sungguhpun kawasan yang hendak dijadikan bandar rendah, sering ditenggelami air masin sewaktu air pasang besar dari laut, kira-kira 2 kilometer ke darat tanahnya tinggi dan subur bagi tanam-tanaman.

Dato' Bentara Luar membuat rumah kediamannya di Kampung Penggaram bertentangan dengan Tasik Kadri untuk membuat kerja membuka bandar.
"Pada 2hb. Disember 1893, fakir menjalankan pekerjaan ukur-mengukur dari jalan kebun kopi ke Gunung Penggaram sampai ke Sungai Penggaram. Di tepi Sungai Penggaram itu fakir jadikan sebuah rumah atap tempat duduk fakir. Fakir jalankan pekerjaan membuat jalan dalam itu. Fakir mulakan menjalankan membuat rumah, pejabat, polis, mahkamah dan tambak-menambak batu di jalan.".

Kerja mengukur, merancang dan membangunkan pusat Bandar pentadbiran daerah telah berjalan lancar dengan bantuan kuat dua orang penghulu itu termasuk perbelanjaan yang dipungut dari orang tempatan dan juga bantuan kewangan dari Orang Kaya Bagan serta kewangan Dato' Bentara Luar sendiri. Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit tersebut disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu pegawai-pegawai tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis, penjara, rumah sakit dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu. Perkembangannya berjalan dengan baik dan lancar dan dalam masa sebulan sahaja jumlah hasil kutipan telah mencapai RM1,500.00.

Pada 1hb. Disember 1894, diadakan satu majlis pengisytiharan menamakan bandar itu dengan nama Bandar Penggaram mengambil sempena nama Kampung Penggaram yang sedia ada di situ yang menjadi kampung kediaman Penghulu Rahmat.

Selain itu, turut diwujudkan sistem pentdbiran moden serta pegawai-pegawai tadbir tertentu bagi menggantikan sistem tradisional. Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato' Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, telah memainkan peranan yang amat aktif. Orang-orang kampung telah digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang dan berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Dato' Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini.

Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commissioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21 hingga 24 Disember 1896. Kemajuan ekonomi Batu Pahat dapat diukur berdasarkan pendapatan daerah yang didapati sepanjang tahun. Semasa bandar ini di bangunkan dalam tahun 1893 pentadbiran daerah berjaya mengutip sejumlah RM15,000.00 sahaja tetapi dalam tahun 1910 pendapatan tahunan mencapai jumlah RM55,375.00.

Era Dato' Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato' Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru apabila sistem pentadbiran yang seiring dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran.
Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Ta'zim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.